Malaysia akhirnya meraih kemenangan sulung setelah menewaskan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Jepun, 4-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Kejohanan Hoki Antarabangsa Terbuka Darwin di Australia, hari ini.

Kemenangan itu menebus kekecewaan skuad Malaysian Tigers yang kalah kepada skuad Negara Matahari Terbit itu dalam aksi final Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan lalu.

Dalam aksi hari ini, Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi gol padang Muhammad Shahril Saabah dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga berakhir babak pertama.

Sebaik sahaja perlawanan bersambung, skuad Malaysian Tigers meningkatkan tempo permainan dan berjaya meraih tiga lagi gol, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti Azri Hassan pada minit ke-37, gol padang Muhammad Haziq Samsul (m-38), sebelum pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim, melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia pada minit ke-44.

Kejayaan itu jelas menggembirakan penolong ketua jurulatih skuad hoki negara, Muhammad Amin Rahim, yang memuji persembahan cemerlang pemain dalam aksi hari ini.

“Saya lega dalam perlawanan terakhir, pemain berjaya menyelesaikan masalah tewas di penghujung perlawanan yang bermula dari Sukan Asia baru-baru ini sehingga perlawanan terakhir pusingan awal bertemu Argentina dalam kejohanan kali ini," katanya.

"Satu menang, satu seri dan dua tewas masih lagi antara keputusan yang boleh dianggap baik dan saya melihat pemain telah melakukan sehabis baik sepanjang kejohanan ini,” kata Muhammad Amin yang merupakan bekas pemain kebangsaan.

Untuk rekod, Malaysia kalah 2-5 kepada juara dunia, Australia, dalam aksi pembukaan (18 Sept), seri 3-3 dengan Jepun (19 Sept), sebelum kalah 2-5 kepada juara Olimpik, Argentina, dalam aksi ketiga pusingan awal, semalam.

Empat negara menyertai kejohanan jemputan berkenaan, iaitu Malaysia, Jepun, Argentina dan Australia.

-- BERNAMA