Juara bertahan kategori lelaki, Perak, akan bertemu Melaka dalam pusingan kedua Kumpulan Y, Kejohanan Hoki Kebangsaan B-16 di Padang Wisma Belia, Kuantan, petang ini.

Jurulatih Perak, Hairul Nizam Abd Rani, menjangkakan pertarungan sengit kerana Melaka adalah juara Kumpulan C.

"Perlawanan ini pastinya sukar kerana kami bertemu pencabar terbaik dari kumpulan lain.

"Saya berharap pemain mampu meneruskan rentak cemerlang seperti dalam pusingan awal di mana kami berjaya memenangi semua perlawanan dalam kumpulan A," katanya.

Satu lagi pencabar Kumpulan Y itu ialah naib juara Kumpulan B, Pahang, yang juga bukan calang-calang pasukan.

Sementara itu, Selangor, Johor dan Kuala Lumpur diundi dalam Kumpulan X.

Juara setiap kumpulan akan layak ke perlawanan akhir Sabtu ini.

Sebanyak 14 pasukan menyertai kategori lelaki manala 13 kategori perempuan dalam kejohanan yang bermula Jumaat lalu itu.