Kuala Lumpur bangkit daripada ketinggalan tiga kali untuk menewaskan Sabah 4-3, sekaligus muncul juara kategori perempuan Kejohanan Hoki Kebangsaan bawah 16 tahun hari ini.

Perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada jam 4 petang di Stadium Hoki Kuala Lumpur terpaksa ditunda selama satu jam ekoran hujan.

Sabah terlebih dahulu memimpin permainan pada minit ke-10 melalui gerakan solo Cyra Cynthia Anias yang tidak dikawal dalam kotak D.

Cyra Cynthia sekali lagi menjadi pencetus jaringan kedua Sabah tiga minit kemudian apabila hantarannya berjaya ditolak Iinka Shafina Juani.

Namun, KL tidak patah semangat untuk memberikan saingan apabila hanya mengambil masa seminit untuk merapatkan jurang menerusi percubaan Nur Syaza Afiqah.

Gol itu ternyata menyemarakkan semangat KL yang akhirnya menyamakan kedudukan melalui Nur Suraya Athira pada minit ke-28.

Sabah kembali di hadapan hasil jaringan kedua Cyra Cynthia pada minit ke-32, namun KL menyamakan kedudukan seminit kemudian.

Kirandeep Kaur muncul wira KL selepas meledak gol kemenangan hasil pukulan sudut penalti untuk menjadikan keputusan 4-3 sehingga tamat perlawanan.

“Saya telah memberitahu kepada pemain-pemain untuk terus bermain walaupun ketinggalan, akhirnya ia membuahkan hasil buat kami,” kata pengendali KL, A. Kannagi.