MALAYSIA 13 KAZAKHSTAN 1

Pasukan hoki wanita negara memilih Kazakhstan sebagai mangsa melepas geram dalam perlawanan terakhir kumpulan B pusingan kedua Liga Hoki Dunia selepas membelasah pasukan itu 13-1 di Stadium Hoki Tun Razak, malam ini.


Malaysian Tigress menunjukkan aksi garang sejak awal permainan apabila meraih gol pertama seawal minit keenam selepas Nurul Nabihah Mansur mudah menolak masuk gol padang ketika berlaku kekalutan di depan gawang Kazakhstan.

Kazakhstan, bagaimanapun, bangkit mengejutkan Malaysia selang seminit kemudian untuk mengikat kedudukan 1-1. Kesilapan ketua pasukan Malaysia, Siti Noor Amarina, yang gagal mengawal bola dengan baik membolehkan Vera Domashneva mudah untuk menewaskan penjaga gol negara, Farah Ayuni.

Pasukan negara tidak mudah tertekan dan kembali mendahului 2-1 seminit sebelum suku pertama permainan tamat. Gol itu dihasilkan Noor Hasliza Ali selepas menerima hantaran cantik Nuraini Abdul Rashid.

Sebaik suku kedua permainan bermula, Malaysia memperoleh gol ketiga menerusi Fatin Shafika.

Kazakhstan terus menderita selepas itu apabila giliran Nuraini Abdul Rashid mencetak gol keempat negara untuk mendahului 4-1.

Gol kelima pasukan negara terhasil melalui pukulan sudut penalti Fatin pada minit ke-24, diikuti gol keenam yang dihasilkan Fazilla Sylvester Silin, juga melalui pukulan sudut penalti dua minit kemudian.

Norhaslinda Said, yang menerima hantaran jauh Fatin, tidak berdepan masalah untuk memukul kencang gol pada minit ke-28, sekali gus mengakhiri separuh masa pertama dengan kedudukan 7-1.

Pada suku ketiga, Malaysia menemui gol kelapan, kali ini giliran Norazlin Sumantri selepas mendapat hantaran cantik sekali lagi dari Fatin.

Gol kesembilan negara hadir pada minit ke- 44 selepas Hanis Nadiah Onn menolak masuk gol padang sebelum arkitek pasukan Malaysia, Fatin Shafika, menghasilkan gol kesembilan.

Seminit selepas suku keempat bermula, Fazilla, sekali lagi menyudahkan pukulan sudut penalti untuk mengukuhkan kedudukan 10-1 buat pasukan negara.

Ketika permainan memasuki minit ke-49, Wan Norfaiezah pula mendapatkan gol ke-11 negara sebelum Nurhaslinda Said muncul penjaring gol seterusnya.

Tidak cukup dengan itu, gol ke-13 negara hadir melalui pukulan sudut penalti Fatin pada minit ke-59 yang juga merupakan hatrik daripada pemain itu.

Jurulatih pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, nyata berpuas hati dengan aksi anak buahnya.

"Kami memang sudah menjangka untuk menang besar tetapi tidak menyangka memperoleh gol sebanyak ini. Pemain bermain dengan baik, cara mereka mencipta peluang dan menjaringkan gol juga bagus.

"Thailand yang kita temui dalam suku akhir nanti adalah satu pasukan yang lebih kuat daripada Kazakhstan. Kualiti mereka juga telah meningkat berbanding ketika aksi dalam Sukan SEA lalu,” katanya selepas tamat perlawanan.

Malaysia selaku naib juara kumpulan B akan berdepan Thailand yang menduduki tempat ketiga kumpulan A di peringkat suku akhir, Khamis ini.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan B pada petang tadi, Ireland turut mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan dengan berkenduri gol apabila menang 10-0 ke atas Hong Kong, sekali gus muncul juara kumpulan.

Saingan kumpulan A sebelum itu menyaksikan pasukan wanita Itali menepati ramalan apabila menang besar 9-0 ke atas Singapura untuk muncul juara kumpulan.

Dalam kumpulan sama, Wales menduduki tangga kedua selepas menewaskan Thailand 3-0.

Keputusan:

Kumpulan A:

Itali 9-0 Singapura
Wales 3-0 Thailand

Kumpulan B:

Ireland 10-0 Hong Kong
Malaysia 13-1 Kazakhstan