Jurulatih pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, enggan memilih jalan sukar dalam Kejohanan Liga Dunia Pusingan Kedua dengan menegaskan aksi kedua kumpulan menentang Ireland perlu disudahkan dengan kemenangan.

Pentas final menjadi sasaran Malaysia demi memastikan kemaraan dalam kelayakan separuh akhir Liga Dunia.

Syarat yang ditetapkan Dhaarma adalah kemenangan bersih dalam saingan peringkat kumpulan, terutama berepan Ireland yang dianggap saingan paling sukar.

Dhaarma tidak mahu mengambil jalan sukar andai Malaysia gagal mengatasi Ireland di peringkat awal, aksi separuh akhir memungkinkan pertembungan dengan Itali yang merupakan pasukan pilihan.

Andai Malaysia menjadi juara peringkat kumpulan, ia akan membuka peluang untuk Malaysia mencipta kejutan layak beraksi dalam separuh akhir Liga Dunia.

"Jika dibandingkan, Itali tidak membawa tiga pemain utama, mereka ini adalah pemain hebat, seorang penyerang dan dua pakar pukulan sudut penalti.

"Ireland pula membawa kesemua pemain kecuali kapten mereka," ujar Dhaarma.

Walaupun Malaysia tewas 3-0 kepada Ireland dalam aksi persahabatan Isnin lalu, itu bukan gambaran jelas untuk mengukur kekuatan sebenar anak buahnya.

"Ketika menentang Ireland, saya tidak menurunkan 15 pemain utama kerana saya tahu perlawanan sebenar berdepan mereka pada Isnin adalah jauh lebih penting," tambahnya.