Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, membuat empat pertukaran berbanding skuad Sukan Komanwel Gold Coast, terutama dengan menyenaraikan semula penjaga gol, S. Kumar, untuk menghadapi enam aksi persahabatan menentang Argentina, minggu depan.

Selain Kumar, turut tersenarai ialah pertahanan, Faiz Helmi Jali, pemain tengah, Muhammad Marhan Abd Jalil dan penyerang, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi.

Mereka menggantikan beberapa pemain, termasuk perancang utama, Fitri Saari, yang mengalami kecederaan hamstring.

Situasi itu membuka peluang buat Van Huizen memilih pemain terbaik untuk bersaing dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan, diikuti kempen Piala Dunia di Bhubaneswar, India, November nanti.

"Apa yang dipamerkan Kumar semasa sesi latihan membuktikan bahawa dia masih antara yang terbaik, malah kehadirannya membuatkan persaingan posisi penjaga gol lebih sengit.

"Pemain juga mempercayainya dan siri jelajah ini amat baik untuknya kerana dia terlepas dua kejohanan sebelum ini. Dengan deretan aksi persahabatan ini juga, kami dapat menilai semula prestasinya.

"Kumar sudah membuktikan bahawa dia tidak jauh daripada prestasi terbaiknya. Saya kagum dengan kegigihannya," kata Van Huizen.

Siri jelajah Argentina bakal menjadi penampilan sulung Kumar bersama skuad kebangsaan selepas tamat penggantungan ekoran kes doping, bulan lalu.

Penjaga gol senior itu mengetepikan bekas penjaga gol skuad projek 2013, Mohd Hafizuddin Othman, yang beraksi baik ketika Malaysia meraih tangga kelima dalam temasya Gold Coast 2018.

"Penting untuk saya sebagai penjaga gol mendapatkan semula sentuhan (terbaik) ekoran empat bulan terlepas aksi antarabangsa.

"Ini penting sebagai persediaan saya untuk menghadapi kejohanan yang akan datang," kata Kumar.