Pemain tengah skuad hoki wanita negara, Noor Hasliza Mohd Ali, mengharapkan aksi dalam Piala Dunia 2018 sebagai penutup kariernya sebelum menyimpan kayu hoki.

Pengalaman anak jati Kuantan, Pahang itu cukup besar tetapi belum mampu menyaingi rasa kepinginnya untuk berada dalam kejohanan itu di India, tahun depan.

Hasliza, 28, mengakui belum puas mencipta sejarah bersama skuad negara yang kini berada dalam misi penting untuk kelayakan Piala Dunia pusingan kedua, dari 14-22 Januari ini.

Katanya, jika hasrat itu mampu dilaksanakan, ia ibarat penutup sempurna sebelum bersara dari dunia hoki yang diceburinya sejak 13 tahun lalu.

"Kami menggunakan pengalaman untuk perlawanan akan datang. Saya berpendapat ia dapat memberikan keserasian di antara pemain muda dan pemain senior," katanya.

Walaupun lebih sebulan ketinggalan sesi latihan, prestasi Hasliza semakin baik jika dibandingkan dengan hari pertamanya melapor diri dengan skuad negara, kelmarin.

"Prestasi kami sudah kembali ke tahap terbaik selepas meninggalkan skuad negara hampir sebulan. Saya yakin pemain-pemain lain juga telah mendapatkan semula rentak permainan mereka."