Bekas penjaga gol terbaik dunia, David Harte, bersetuju dengan cadangan pemain kebangsaan untuk menyertai liga di Eropah selepas tamat sesi bedah siasat susulan kegagalan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Harte, penjaga gol Ireland yang beraksi bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) sejak 2018, mengakui Malaysia memiliki lambakan pemain muda berbakat tetapi berpendapat mereka harus menimba ilmu di luar, khususnya di Eropah, bagi memastikan perkembangan karier berjalan lancar.

"Saya fikir ia mampu menjadi peluang buat pemain muda untuk menikmati pengalaman beraksi di luar negara daripada segi taktikal dan teknikal. Perbezaan cara dan corak permainan akan memberikan elemen positif buat mereka," katanya.

"Bagi saya, jumlah pemain berbakat yang dimiliki Malaysia sangat mengagumkan. Ia dapat dilihat setiap tahun, mereka sentiasa bertambah. Jadi, saya sarankan mereka untuk beraksi di luar.

"Memang kemudahan sukan hoki dalam negara ini merupakan antara yang terbaik di dunia, ia membuatkan saya cemburu tetapi aksi di luar membolehkan mereka memahami budaya luar dengan lebih baik."



Editor: Nafis Abdullah