Penyerang Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Lachlan Gerald Stock akan berdepan ujian sebenar untuk bantu pasukannya meraih kemenangan kedua Liga Hoki Malaysia (LHM) menentang pendahulu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas muncul pendahulu penjaring terbanyak liga.

Gerald mencipta hatrik ketika menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, 5-0 pada aksi pembukaan.

Penyerang kelahiran Australia ini pasti dikawal ketat sepanjang pertemuan di Stadium Hoki Kuala Lumpur kerana dia memiliki kemampuan melakukan percubaan bahaya termasuk pukulan kilas.

Penggempur berusia 20 tahun ini meramalkan cabaran lebih sukar menentang TNB namun yakin untuk meneruskan rentak jaringan.

"Saya mahu membuktikan gaya permainan kami sangat efektif di liga ini dan saya sangat suka rentak permainan di Malaysia," kata Gerald.

UniKL memiliki lima pemain import termasuk dari Argentina dan Pakistan.

Selain Gerald, pemain import UniKL ialah Ignacio Santiago Salas, Tomas Matias Santiago, Muhammad Alim Bilal dan Muhammad Tousiq.

Ia adalah ramuan yang diharapkan mampu menghadirkan trofi sulung sejak penampilan pertama UniKL pada LHM 2010.

"Terdapat beberapa perkara yang mampu dipertingkatkan lagi dalam mutu permainan kami, TNB merupakan pasukan yang kuat kerana hadirkan penjaga gol seperti S. Kumar yang mengetuai pasukan tersebut. Saya berharap jika kami menghasilkan peluang dengan banyak pada perlawanan ini," jelas pengendali pasukan UniKL, Arul Selvaraj.