Penyerang skuad hoki negara, Firhan Ashaari, disahkan terpaksa berehat sekurang-kurangnya tujuh bulan selepas menjalani pembedahan lutut sehingga memaksanya terlepas play off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dia akan menjalani proses rawatan di Institut Sukan Negara (ISN) dan pastinya apa yang dialami itu akan menyebabkannya terlepas saingan kelayakan Tokyo 2020 yang akan berlangsung November depan.

Situasi itu pastinya memberikan tamparan kepada skuad hoki kebangsaan tetapi bagi Firhan, dia mahu menjalani proses pemulihan mengikut prosedur terlebih dahulu sebelum memikirkan perkara lain, apabila berkata: "Kalau diikutkan, kecederaan ini agak serius dan ia mahu dielakkan oleh setiap atlet.

"Paling pantas, saya hanya akan kembali ke pasukan negara dalam tempoh tujuh bulan dari sekarang."