Jurulatih pukulan sudut penalti, Taeke Taekema, menganggap Malaysia bakal memiliki senjata paling tajam dalam Final Siri Hoki Dunia 2019 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, bermula 26 April ini apabila enam pemain mampu mengambil gerakan itu yang diketuai pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim.

Kehadiran jurulatih dari Belanda itu menyaksikan enam pemain mengasah sentuhan mereka untuk mencapai sasaran muncul juara dalam Kumpulan B yang turut mengandungi China, Brazil dan Itali.

Selain Razie, Faizal Saari, Najmi Farizal Jazlan, Syed Syafiq Syed Cholan, Shahril Saabah dan Muhammad Arif Syafie Ishak turut berpeluang mengasah ketajaman pukulan sudut penalti mereka.

Peluang menjaringkan gol menerusi gerakan itu sekitar 26 peratus ketika Malaysia meraih tempat ketiga dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah 2019 di Ipoh, Perak bulan lalu.

Justeru, Taekema yakin angka itu mampu ditingkatkan sehingga 35 peratus.

"Malaysia mempunyai ramai pakar flik dan sesetengah pemain muda memerlukan lebih masa (untuk mendapatkan teknik terbaik) tetapi kesemua mereka mempunyai pengalaman.

"Seperti yang saya katakan, ia bergantung kepada lawan yang bakal dihadapi," jelas Taekema.

Najmi menganggap tunjuk ajar daripada Taekema penting bagi memperincikan teknik pemain negara.

"Taekema membetulkan perkara-perkara kecil meskipun teknik pukulan sudut penalti pemain negara hampir sama," katanya.

Tambah pertahanan negara, Syed Syafiq: "Jurulatih tidak menjamin tempat saya dalam skuad 18 pemain, cuma dia berpesan bahawa semua pemain berhak merebut tempat."

Ketika ini, 27 pemain sedang bersaing sengit untuk merebut tempat dalam Final Siri Hoki Dunia kecuali penjaga gol, S. Kumar, yang sah digugurkan kerana kecederaan hamstring.