Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, mempertaruhkan lima pakar pukulan sudut penalti sebagai senjata utama bagi mencapai misi juara dalam Kejohanan Final Siri Hoki Dunia di Bukit Jalil, bermula Selasa ini.

Selain gandingan Faizal Saari dan Razie Abdul Rahim, Oltmans kini mempunyai tiga pilihan lain, iaitu Najmi Farizal Jazlan, Syed Syafiq Syed Cholan dan Shahril Saabah selepas ketiga-tiga pemain itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Jurulatih kelahiran Belanda itu turut membayangkan Malaysia akan menerapkan variasi baru dalam pukulan sudut penalti hasil latihan di bawah kendalian pakar gerakan itu, Taeke Taekema.

Bagaimanapun, perbincangan lanjut akan dilakukan bagi menentukan penggiliran pemain yang akan melakukan gerakan berkenaan.

"Kami tidak hanya menjalani latihan drag flick tetapi kami juga berlatih untuk mendapat rentak ketika mengambil pukulan sudut, termasuk pelbagai variasi baru.

"Kami akan memanfaatkan sepanjang keberadaan Taekema di sini untuk memantapkan gerakan itu," katanya.

Dalam masa sama, Oltmans tidak memandang mudah cabaran yang akan ditawarkan Brazil meskipun pasukan itu tewas 2-3 kepada pasukan tercorot Liga Hoki Malaysia, UiTM, semalam.

"Mungkin anda tidak menyedari bahawa sebahagian pemain Brazil masih belum tiba di sini.

"Jika saya tidak silap, terdapat beberapa pemain mereka yang beraksi di Australia, Belanda dan Jerman.

"Mereka masih belum tiba di sini, jadi Brazil beraksi dengan pemain yang terhad," tambahnya.

Malaysia akan berentap dengan Brazil dalam saingan Kumpulan B bersama China dan Itali.