Pertahanan hoki negara, Muhammad Amirul Aideed Md Arshad, mahu membalas kepercayaan ketua jurulatih, Stephen Van Huizen, apabila berpeluang membuat kemunculan sulung di peringkat antarabangsa dalam Festival Hoki Antarabangsa Melbourne, bermula 23 November ini.

Amirul antara dua pemain yang bakal meraih penampilan pertama di peringkat antarabangsa di Melbourne, Australia.

Selain Amirul, bekas pertahanan Skuad Projek 2016, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, turut berada dalam senarai 18 pemain ke Melbourne.

Ia akan menjadi permulaan penting dalam karier mereka apabila diberi peluang untuk bermain di peringkat antarabangsa buat julung kalinya.

"Panggilan ini sangat penting sebab ia akan menunjukkan sama ada saya mampu bermain di peringkat tinggi atau tidak.

"Ia juga akan menjadi petunjuk kepada keyakinan dan kecergasan saya," kata Amirul.

Malaysia akan menentang New Zealand dalam aksi pembukaan pada 23 November ini, disusuli pertemuan dengan Australia dan India.

Tugas semakin sukar buat Malaysia yang kehilangan beberapa tonggak utama seperti Muhammad Razie Abd Rahim, Nabil Fiqri Mohd Noor, Fitri Saari dan Faiz Helmi Jali ekoran komitmen terhadap kerjaya dan pengajian universiti.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak menetapkan sasaran di Melbourne, namun Van Huizen sedar beliau perlu mengelak tangga tercorot.