Penjaga gol nombor satu skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya, mengakui ketinggalan dari segi stamina ekoran tidak dapat menjalani latihan sempurna sejak lebih sebulan lalu.

Kembali ke pangkuan skuad negara pada Isnin, Ayuni mengakui dia perlu lebih gigih menjalani latihan bagi membina semula staminanya yang semakin menurun.

Tempoh kurang dua minggu bukan masa yang cukup panjang buat Ayuni, namun dia tidak mempunyai sebarang pilihan lain.

Kredibiliti selaku penerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik Asia ketika Kejohanan Trofi Asia, Oktober lalu, memberikan tekanan, namun hal itu juga dianggap sebagai kekuatan untuk dia mengekalkan prestasinya dalam apa jua keadaan.

“Ya, saya mengakui selepas lama meninggalkan skuad kebangsaan, prestasi dan stamina saya menurun. Saya akan kembali menjalani latihan bagi membuat persiapan rapi untuk kejohanan akan datang,” ujar Ayuni.

Apa yang dirisaukan jurulatih hoki wanita negara, Mohamad Dhaarma Raj Abdullah, membabitkan Ayuni dan seorang lagi pemain dari PDRM, Noor Hasliza Md Ali, ada betulnya.

Namun, kehadiran semula kedua-dua pemain utama negara ini melegakannya memandangkan dia memiliki misi cukup besar dalam pusingan kedua Liga Hoki Dunia dari 14 hingga 22 Januari depan.

“Dua pemain ini amat penting dalam skuad, terutama sekali ketika bertahan pukulan sudut penalti pasukan lawan, Ayuni juga menyedari dia mempunyai tanggungjawab yang besar jika perlawanan kalah mati perlu diputuskan melalui penentuan pukulan penalti,” jelas Dhaarma.