Penyerang hoki negara, Faizal Saari, diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk meninggalkan pasukan menjelang aksi ketiga Trofi Juara-Juara Asia menentang Jepun kerana isterinya akan melahirkan bayi sulung mereka.

Faizal tetap fokus terhadap misi membantu Malaysia layak ke separuh akhir.

Isterinya dijadual melahirkan bayi sulung mereka di Ipoh, Perak, minggu depan, sekali gus menyaksikan Faizal diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Saya sedang berjaga-jaga untuk ke Ipoh kerana isteri saya dijadualkan bersalin bulan depan. Dalam masa yang sama, saya perlu memberikan tumpuan untuk Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia,” katanya.

Faizal sudah meledak dua gol di Kuantan ketika menewaskan Pakistan 4-2 dalam aksi sulung Khamis lalu.

Ia bukti penyerang berusia 25 tahun ini masih lagi berbisa walaupun 14 bulan tidak mewakili negara.

Dia akan mengetuai jentera serangan menentang Jepun malam ini, dengan kemenangan akan memastikan tiket ke separuh akhir.

“Kami telah membuat persiapan untuk perlawanan ini, saya berharap rakan-rakan memberikan tumpuan penuh ketika berdepan Jepun.”