Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari, meramalkan Jepun akan merampas status gergasi Asia dalam tempoh lima tahun lagi selepas mereka bangkit untuk seri 3-3 menentang Malaysia dalam aksi kedua Kejohanan Terbuka Antarabangsa Darwin, semalam.

Skrip final Sukan Asia berulang lagi, dengan Malaysia mendahului 3-1 menerusi hatrik pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abd Rahim, namun ia tidak menggentarkan Jepun.

Anak buah Siegfried Aikman itu sebaliknya kekal tenang untuk menyamakan kedudukan, sekali gus membuktikan kejayaan menumbangkan Malaysia dalam final Sukan Asia tiga minggu lalu bukan satu kebetulan.

"Melihat kepada prestasi Jepun, mereka sedang meningkat naik. Malaysia tidak memandang rendah kemampuan mereka tetapi kami telah berusaha yang terbaik dalam Sukan Asia tetapi terpaksa menerima kekalahan," kata Faizal.

Cuma apa yang boleh melegakan, Malaysia beraksi tanpa enam pemain utama yang direhatkan seperti penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, dan penjaga gol, S. Kumar.

Malaysia perlu menewaskan Argentina dalam aksi terakhir esok untuk menghidupkan peluang ke final.

Jika tidak, Malaysia akan berdepan Jepun dalam penentuan tempat ketiga dan keempat, Sabtu ini.