Kejayaan meraih pingat pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Perak memberikan lonjakan motivasi buat skuad hoki wanita Selangor untuk mempertahankan Piala Razak yang dijadualkan berlangsung November ini.

Skuad hoki wanita Selangor menamatkan penantian 24 tahun untuk kembali meraih emas Sukma selepas menewaskan Sabah dalam final.

Ia turut menebus kehampaan mereka selepas sekadar meraih pingat perak pada edisi dua tahun lalu di Sarawak.

Kejayaan itu banyak dibantu oleh persembahan konsisten yang dipamerkan, bermula daripada saingan Piala Razak tahun lalu apabila Selangor menewaskan Pahang untuk muncul juara.

Lantaran itu, jurulatihnya, Ikram Abdul Jabar, berharap rentak berkenaan dapat diteruskan untuk memastikan gelaran Piala Razak tahun ini kekal milik Selangor.

"Satu cabaran untuk saya untuk memastikan dapat mempertahankan Piala Razak tahun ini selepas memenangi pingat emas dalam Sukma," katanya.

Sementara itu, Ikram turut menjangkakan skuad hoki wanita Selangor akan terus memberikan cabaran hebat bagi menghadapi edisi Sukma berikutnya di Johor pada 2020.

Dia, bagaimanapun, mengakui peningkatan beberapa pasukan lain, khususnya Sabah, yang memberikan satu petanda awal bukan mudah untuk mereka mempertahankan emas dan menuntut persiapan rapi dilakukan lebih awal.

"Rata-rata pemain saya masih berusia 18 tahun dan mereka boleh beraksi untuk edisi seterusnya. Kami akan membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan di Johor nanti," tambahnya.