Jurulatih skuad wanita negara, Mohamad Dhaarma Raj Abdullah, hampa dengan kegagalan mengatasi Ireland, namun yakin pasukannya masih berpeluang melangkah ke pusingan seterusnya dalam Liga Hoki Dunia Wanita.

Umum mengetahui hasrat menggunung Dhaarma yang mahu mencipta sejarah baru dengan skuad wanita bimbingannya ketika ini.

Syarat utama mengatasi Ireland nampaknya tidak terjadi gara-gara kekalahan 1-2, kini kegusaran Dhaarma melihat anak buahnya melewati laluan sukar dalam kelayakan kedua Liga Hoki Dunia sedang menanti di depan mata.

Mengakui kecewa, namun itu bukan penghujung skuad negara dalam kempen kali ini.

"Kami bukan sahaja bertahan, kami juga telah menghasilkan percubaan, namun perlawanan tidak memihak kepada kami. Saya yakin kami masih mampu untuk meneruskan cabaran ke pusingan seterusnya," katanya.

Sementara itu, kapten skuad negara, Siti Amarina Ruhani, tidak mahu patah semangat ekoran kegagalan ujian pertama, sebaliknya yakin untuk ke pusingan seterusnya jika bermain dengan cemerlang.

"Sasaran kami adalah untuk memenangi perlawanan ini untuk memudahkan laluan kami tetapi apa yang penting, kami perlu menghasilkan permainan lebih cemerlang dalam perlawanan akan datang," ujarnya.

Malaysia kini di tangga kedua Kumpulan B, dengan tiga mata yang diraih hasil kemenangan ke atas Hong Kong dalam perlawanan pertama lalu.

Ireland mengungguli kumpulan selepas mengumpul enam mata selepas menundukkan Malaysia semalam.