Jangan gugup! Itu peringatan jurulatih skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, yang mengakui situasi itu menjadi kebimbangan utamanya mejelang aksi pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia.

Kebimbangan Dhaarma merujuk kepada beberapa perlawanan terdahulu yang menyaksikan anak buahnya gagal menguasai keadaan ketika mereka berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke saingan seterusnya.

Sudah pasti Dhaarma tidak mahu perkara yang sama berulang tatkala dia mempertaruhkan sepenuh kepercayaan kepada anak buahnya untuk mencipta kejutan beraksi ke saingan separuh akhir.

"Situasi ini sedikit merisaukan saya kerana kalau dalam perlawanan penentuan, iaitu aksi kedua menentang Ireland nanti.

"Perlawanan sulung menentang Kazakhstan, saya berasakan pemain mampu menanganinya.

"Mungkin untuk perlawanan kedua nanti, saya perlu fokus aspek psikologi agar pemain tidak gugup," ujar Dhaarma.

Dhaarma menjadikan peristiwa tahun lalu di Kejohanan Trofi Asia menentang Korea Selatan dan aksi dalam saingan Liga Hoki Australia ketika menentang pasukan Victoria State sebagai pengajaran yang cukup bermakna untuk anak buahnya.

"Seperti di Liga Hoki Australia, pemain gugup dalam perlawanan penentuan untuk ke separuh akhir.

"Mereka gugup dan melepaskan tiga gol dalam tempoh tiga minit.

"Sama seperti dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Trofi Asia, kami juga melepaskan tiga gol dalam tempoh tiga minit."

Tegas Dhaarma, bersesuaian dengan kelibat Malaysia selaku pasukan tuan rumah, kekuatan fizikal dan mental anak buahnya perlu berada di tahap terbaik menjelang saingan yang bakal bermula Rabu depan.