Cuaca sejuk bukan alasan untuk gagal meraih tiket kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, kata ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menjelang Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Ireland Utara, 8-16 Jun ini.

The Malaysian Hockey Tigress berlepas ke Itali hari ini bagi menghadapi perlawanan tiga penjuru dengan pasukan tuan rumah dan Sepanyol sebelum ke Scotland untuk mengadakan sesi pemanas badan terakhir menjelang kejohanan di Belfast itu.

Dhaarma menjelaskan ia sebagai langkah menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk selain mengekalkan fokus dalam perlawanan.

"Kami memohon kepada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk membenarkan kami ke Scotland kerana di sana sedang dalam cuaca sejuk.

"Kami mengharapkan pemain dapat menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk sebelum ke Ireland (Utara)," katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Republik Czech, Singapura dan Ireland manakala Kumpulan B pula menampilkan Korea Selatan, Scotland, Ukraine dan Perancis.

Dhaarma optimis pasukannya mampu melepasi saingan peringkat kumpulan dengan pasukan nombor lapan dunia, Ireland, dilihat sebagai pencabar utama.

"Pastinya perlawanan pertama menentang pasukan Ireland mencabar kerana mereka pasukan di ranking kelapan dunia.

"Jika kami dapat menewaskan mereka, ia akan merupakan satu kejutan besar.

"Namun, jika kami tidak dapat menewaskan mereka, kami masih boleh layak ke pusingan kedua dengan menewaskan Republik Czech dan Singapura," tambahnya.