Bekas pemain hoki negara, Nor Azlan Bakar, melontarkan cabaran buat The Malaysian Hockey Tigers untuk menjulang gelaran juara Siri Final Dunia yang akan bermula Jumaat ini, sekali gus menutup kritikan di samping memberi amaran supaya tidak terlalu mengambil mudah cabaran peringkat kumpulan.

Di atas kertas, Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan B, berada di ranking ke-13 dunia mengatasi China di kedudukan ke-14 dan juga Itali di tangga ke-32.

Tambahan Brazil, pasukan ke-27 dunia yang tiba ke tanah air lebih awal, mengalami kesukaran apabila merekodkan dua kekalahan dalam aksi perlawanan persahabatan di ibu negara, tewas 2-3 kepada UiTM dan seterusnya 1-5 kepada skuad B-21 negara.

Bagaimanapun, ia bukan tiket untuk skuad Malaysia terus mendabik dada.

"Kami tidak mahu memandang rendah kepada kebolehan Brazil. Jika kami tidak mengatasi mereka, tidak perlu kami bersusah-payah beraksi di Tokyo 2020 nanti," kata ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans.

Malaysia akan menurunkan barisan terbaik untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang Wales esok, dengan Oltmans membayangkan untuk menguji beberapa taktikal baru.

"Setiap perlawanan adalah penting, terutama beraksi di laman sendiri," kata pemain negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Azlan merupakan sebahagian daripada alumni terakhir hoki Malaysia yang beraksi dalam Sukan Olimpik Sydney 2000.

Selepas 19 tahun, Malaysia masih buntu untuk menjejakkan semula kaki ke temasya sukan paling besar itu.

Selepas gagal meraih slot automatik dalam Sukan Asia tahun lalu, Malaysia kini mempunyai satu lagi talian hayat menerusi kempen Siri Dunia yang menawarkan slot ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Justeru, Azlan mahu anak buah Oltmans menggunakan kesempatan sebaik-baiknya dengan beraksi di laman sendiri.

"Perkara paling penting adalah Malaysia melangkah ke Sukan Olimpik. Ia merupakan harapan saya untuk sekali lagi skuad negara beraksi di pentas itu," kata Azlan.

Dalam masa sama, Azlan melihat perancangan Oltmans menyenaraikan lima pakar pukulan sudut penalti dalam skuad kali ini adalah satu tindakan yang berani.

Tidak hanya bergantung kepada dua pemain sahaja sebelum ini menerusi Razie Abd Rahim dan Faizal Saari, kini skuad negara mempunyai pilihan yang lebih banyak dalam membentuk gerakan untuk menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti.

"Jaringan sangat penting dalam kejohanan ini kerana ia akan menentukan nasib Malaysia," katanya lagi.