Akhir Siri Hoki FIH: Dhaarma sukar gugurkan pemain

By Staff Writer 18 May 2019 605
Akhir Siri Hoki FIH: Dhaarma sukar gugurkan pemain
Pengendali skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, mengakui kesukaran  untuk memilih 18 pemain terbaik bagi menggalas cabaran negara dalam Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Belfast, Ireland Utara, 8-16 Jun ini.

Dhaarma menganggap senarai 20 pemain yang diumumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) semalam merupakan barisan pemain terbaik untuk menyertai Jelajah Eropah.

The Malaysian Tigress akan menghadapi perlawanan tiga penjuru di Itali untuk menentang pasukan tuan rumah dan Sepanyol, hujung bulan ini.

Skuad negara kemudian akan menjalani aksi pemanas badan terakhir di Scotland, awal bulan depan sebagai persiapan dan medan pemilihan 18 pemain terbaik menjelang kejohanan itu.

"Semua pemain sudah menampakkan peningkatan yang amat membanggakan.

"Ia merupakan kali pertama saya berasa sukar untuk menggugurkan dua pemain walhal pada waktu dulu, adalah amat mudah untuk saya menggugurkan pemain," katanya.

Meskipun skuad negara berada di ranking ke-22 dunia, Dhaarma yakin barisan pemainnya mampu mencipta kejutan untuk memburu tiket automatik ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Republik Czech, Singapura dan Ireland manakala Kumpulan B pula menampilkan Korea Selatan, Scotland, Ukraine dan Perancis.

About Author

Staff Writer

Comment