Skuad hoki negara melakukan rombakan pada saat-saat akhir apabila penyerang muda, Mohd Akhimullah Anuar Esook, terpaksa diterbangkan dari Terengganu bagi menggantikan Shahril Saabah yang ditimpa kecederaan bahu menjelang aksi sulung Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH menentang Brazil, esok.

Akhimullah bakal membuat penampilan antarabangsa pertama apabila dipilih bagi menggantikan Shahril.

Penyerang Tenaga Nasional Berhad tersebut dipilih berdasarkan kemampuannya sepanjang kem latihan pusat selain membantu Malaysia ketika melakar sejarah meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018.

Shahril terpaksa digugurkan ekoran kecederaan bahu yang dialaminya ketika kem latihan kebangsaan.

Skuad negara melakukan pertukaran pemain ketika mesyuarat pengurus pasukan hari ini yang juga merupakan peluang terakhir untuk mendaftarkan pemain.

"Saya sudah beraksi di samping Akhimullah selama hampir dua tahun, termasuk berlatih untuk kelab dan kem kebangsaan.

"Dia mungkin mengambil sedikit masa (untuk menyesuaikan diri) sebelum kejohanan ini bermula," kata penyerang negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil.

Tambah seorang lagi penyerang hoki negara, Mohd Azrai Aizad Abu Kamal: "Kami sudah lama beraksi bersama-sama dan kehadiran saya mungkin boleh membantu kelancaran gandingan kami."

Malaysia masih memiliki penyerang lain seperti Faizal Saari, Muhammad Firhan Ashaari dan Norsyafiq Sumantri.

Sementara itu, perubahan berkenaan tidak menjejaskan misi The Malaysian Hockey Tigers untuk menewaskan Brazil yang seri sekali dan kalah tiga kali sepanjang aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebagai persiapan terakhir mereka.

"Saya bimbang sekiranya mereka hanya mahu menguji cuaca, padang dan apabila tibanya hari perlawanan, mereka mengubah pendekatan dan mereka berikan aksi yang terbaik.

"Saya risau rakan sepasukan akan menjadi terlalu yakin apabila mengetahui keputusan empat perlawanan yang berlangsung lebih awal (Kumpulan A dan B di Stadium Nasional, Bukit Jalil)," ujar ketua pasukan negara, Sukri Mutalib.