Dua pemenang emas negara daripada sukan angkat berat, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dan Muhammad Aznil Bidin, berkongsi kisah kejayaan mereka dalam Sukan Komanwel di Gold Coast.

Azroy, yang bersaing dalam kategori 56kg, melahirkan kelegaannya kerana mampu menyumbang emas sekalipun berasakan boleh melakukan angkatan lebih baik, terutama dalam clean and jerk.

"Saya ada cakap kepadanya (pengurus, Amirul Hamizan Ibrahim) untuk memecahkan rekod clean and jerk tetapi saya memikirkan lutut saya ada cedera. Dia cakap, tak apa, dalam Sukan Komanwel kali ini, pecahkan dua rekod dahulu.

"Mungkin saya boleh lakukan dalam temasya seterusnya. Semalam, tenaga ada tetapi tidak boleh buat kerana cedera di lutut. Syukur, saya akhirnya menghadiahkan satu emas untuk Malaysia," katanya.

Azroy semalam memecah rekod Sukan Komanwel dengan angkatan keseluruhan 261kg untuk merangkul emas kategori 56kg di Arena Sukan Carrara.

Dia melakukan angkatan 117kg menerusi snatch untuk memadam rekod 116kg yang dicipta Amirul dalam temasya di New Delhi 2010.

Momentum itu diteruskan Azroy dalam clean and jerk dengan melakukan angkatan terbaik 144kg.

Mengumpul 261kg keseluruhan, Azroy juga mengatasi rekod Komanwel 16 tahun milik Amirul (260kg) yang dilakukannya di Manchester pada 2002.

Dalam pada itu, Aznil yang turut cemerlang menghadiahkan pingat emas kedua menerusi kategori 63kg, mengakui Amirul banyak membantunya sehingga melakar kejayaan.

"Saya ada sasaran peribadi untuk mendapatkan emas tetapi di atas kertas saya berada di ranking kedua. Dengan strategi yang diterapkan Amirul dan jurulatih, akhirnya saya dapat emas.

"Saya sangat gembira dan tidak menjangka keputusan ini. Terima kasih kepada jurulatih dan pengurus.

"Kegemaran saya adalah clean and jerk. Dalam angkatan kedua, saya sudah yakin dapat emas. Tetapi dalam angkatan terakhir, saya lebih bersemangat kerana dalam sesi latihan pun saya tidak pernah buat," katanya.

Aznil memberi kejutan yang cukup bermakna buat kontinjen negara menerusi angkatan 126kg dalam snatch dan 162kg dalam clean and jerk untuk jumlah angkatan keseluruhan 288kg.