Sesi ujian masa pertama Kejohanan eRacing Grand Prix SEA akan diadakan hujung minggu ini serentak dengan penganjuran Malaysia Speed Festival (MSF) di Litar Antarabangsa Sepang.

Kejohanan yang telah diperkenalkan di Hong Kong tahun lalu itu bertujuan mentransformasi pelumba alam maya menjadi jagoan di litar sebenar.

Pengasas Axle Motorsport, Alex Yoong, dalam satu kenyataan media berharap inisiatif mewujudkan kejohanan itu akan membawa era baru untuk industri sukan permotoran di negara ini.

"Kami amat gembira dengan sambutan yang kami dapat daripada penyertaan dan penglibatan penaja. Peserta perlu memberi perhatian kepada maklumat tentang kereta yang akan dipandu serta litar yang akan digunakan semasa sesi ujian masa nanti, melalui laman web kami.

"Latihan yang banyak juga penting kerana ia akan membantu mereka bersedia untuk ujian masa. Saya jangkakan kejohanan di Sepang ini akan sama seperti edisi di Hong Kong di mana kami dapat mengenal pasti ramai bakat berpotensi," katanya.

Setiap peserta diberi peluang untuk melengkapkan lima pusingan ujian masa yang akan berlangsung selama beberapa minggu.

Seramai 45 peserta dengan catatan masa terbaik kemudian akan dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk mara ke pusingan separuh akhir, diikuti dengan lima pelumba teratas bagi setiap kumpulan akan mara ke Grand Finals bagi merebut kejuaraan sulung eRacing Grand Prix SEA.

Grand Prix ini akan diadakan di Filipina, Singapura, Indonesia dan Vietnam, di mana pemenang bagi setiap negara akan dilatih dan berpeluang berlumba dalam Formula 4 South East Asia Championship (F4SEA).

-- BERNAMA