Satu pengalaman yang cukup berharga buat juara eRacing Grand Prix SEA, Mior Muhammad Hafiz Mior Lahmudin, yang mewakili negara dalam temasya Permainan Video Permotoran FIA di Litar Antarabangsa Vallelunga, Rome hujung minggu lalu.

Mior Muhammad Hafiz mara ke peringkat akhir dengan menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dalam kategori Piala Digital untuk muncul sebagai salah seorang daripada dua wakil Asia yang melayakkan diri ke peringkat akhir.

Turut mengiringi Mior Muhammad Hafiz ialah peserta dari Taiwan, Chou Yi Teng.

Dalam saingan pusingan kelayakan, dia mencatatkan masa terbaik dengan catatan 1:30:428s untuk melayakkannya bersaing di peringkat Separuh-Akhir B yang turut menampilkan juara keseluruhan, Cody Nikola Latkovski dari Australia.

Namun, rezeki tidak memihaknya apabila dia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima, sekali gus terlepas slot automatik ke peringkat akhir.

Pemuda berusia 31 tahun itu dari Puchong itu, bagaimanapun, melayakkan diri ke pusingan akhir menerusi perlumbaan pusingan “repechage” apabila menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik.

Cabaran yang sengit ditempuhinya di peringkat akhir apabila perlu memintas 11 pelumba yang lain untuk muncul juara kategori Piala Digital.

Mior Muhammad Hafiz yang bermula di petak terakhir telah menunjukkan belangnya apabila memintas pelumba yang lain dan menamatkan perlumbaan di tempat kelapan daripada 12 peserta dengan catatan 29:16:236s.

Mengulas persembahannya dalam final, Mior Muhammad Hafiz berkata, “Memang sukar untuk berlumba dengan pelumba-pelumba terbaik dunia.

"Saya akui sedikit terkilan kerana tidak dapat mara secara automatik ke final. Nasihat yang diberikan oleh Alex Yoong sedikit-sebanyak membuat saya kembali fokus dan tenang. Alhamdulillah, saya berjaya ke pusingan repechage untuk layak ke final.

“Dalam final, saya dapat memintas peserta lain sehingga berada di tempat kelapan daripada tempat ke-12. Memang ia satu perlumbaan yang mendebarkan kerana saya perlu berwaspada dengan kenderaan di belakang dan juga di depan saya.

"Ini adalah satu pengalaman yang cukup mahal dan berharga buat saya. Saya ingin berterima kasih kepada Axle Motorsport, khususnya Alex dan penaja kami, JD Sports Malaysia, dan Persatuan Esports Kuala Lumpur (ESKL) atas segala dorongan dan sokongan sepanjang persiapan saya untuk ke Rome. Saya tidak akan lupakan pengalaman ini."

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Axle Motorsport, Alex, yang berbangga dengan prestasi Mior Muhammad Hafiz berkata: “Jelas sekali ini adalah pengalaman yang berbeza buatnya dan sememangnya saya mengharapkan dia berjaya mara ke pusingan akhir.

"Dia telah membuktikan kebolehannya dengan berjaya menduduki tempat kelapan dan ia adalah saat yang istimewa buatnya kerana ini merupakan pertandingan antarabangsanya yang pertama."