Wakil Malaysia, pasukan Todak, hari ini mencipta kejutan apabila mengalahkan wakil dari Jepun untuk mara ke separuh akhir penganjuran sulung Kejohanan Dunia Mobile Legend: Bang Bang (MLBB) Malaysia.

Dalam pusingan awal, 10 Second Gaming mengalahkan pasukan Malaysia, iaitu Axis E-Sports, dengan mudah, namun kemaraan mereka terhenti ketika berdepan Todak di Arena Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Todak menebus maruah negara dengan mengalahkan wakil Jepun berkenaan 2-1 untuk mara ke separuh akhir.

"Memang itulah harapan kami, kami memang layak dan tiada sasaran lain lagi yang diintai," kata pengurus Todak, Mohd Syazlan Mohd Rosdi.

Ketua pasukan Todak, Zikry Shamsuddin, pula optimis Malaysia mampu meraih gelaran juara.

"Lawan kami mempunyai kekuatan dan cara permainan tersendiri.

"Pasukan yang lebih kuat, tekal dan berdisiplin, itulah pasukan yang akan muncul juara," katanya.