Persoalan siapakah yang bakal muncul juara sulung kejohanan eRacing Grand Prix SEA Kuala Lumpur terjawab apabila Mior Muhammad Hafiz Lahmudin menepati ramalan dengan mendominasi perlumbaan akhir di 3 Damansara Shopping Mall, Petaling Jaya, semalam.

Tanpa berdepan masalah, Mior Hafiz, 31, membuktikan bahawa dia adalah raja litar maya perlumbaan eRacing Grand Prix SEA apabila mengungguli carta keseluruhan pemandu dengan 195 mata, diikuti oleh Muhamad Uzair dan Amir Haziq, masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan kutipan 170 dan 122 mata.

“Sejujurnya saya tidak menyasarkan untuk menjadi juara tetapi saya telah banyak mengadakan latihan sejak pusingan separuh akhir yang lalu. Malah, saya juga kerap bermain permainan ini bersama rakan-rakan untuk membolehkan saya mendapatkan rentak pemanduan yang baik menjelang pusingan akhir ini,” katanya.

“Saya berterima kasih kepada Alex Yoong kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada saya dan juga peserta lain mengenai pengendalian jentera ketika berlumba di atas litar.”

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada peserta yang telah memberikan persembahan terbaik untuk peringkat akhir ini. Mereka berjaya menterjemahkan apa yang telah diajar oleh jurulatih mereka dan saya amat berbangga dengan pencapaian peserta,” tambah Alex.

“Saya berharap agar peserta yang telah menyertai pertandingan ini untuk tidak berhenti di sini sahaja kerana mereka mempunyai potensi besar untuk menjadi jaguh di litar sebenar mahupun di litar maya.”

Juara keseluruhan eRacing Grand Prix SEA membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta telefon bimbit RAZER dan baucar bernilai RM100 dari JD Sport sementara tempat kedua dan ketiga turut menerima hadiah sumbangan RAZER dan JD Sport serta wang tunai masing-masing RM4,000 dan RM3,000.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, yang turut hadir dalam pusingan akhir itu yakin industri E-Sukan akan diangkat sebagai sukan tulen, satu hari nanti.

"Mahu atau tidak, kami harus menerima realiti bahawa E-Sukan kekal di sini. Sebab itu persediaan harus dilakukan oleh pihak kementerian dan Majlis Olimpik Malaysia untuk membangunkannya. Ia melibatkan banyak perkara daripada segi pelaksanaan di peringkat bawah sehingga elit," ujar Norza.

"Ia bukan sahaja tentang E-Sukan atau konvensional tetapi adalah hasil gabungan dua elemen ini. Sudah boleh dilihat bahawa ia memiliki unsur tersendiri. Mungkin ini menjadi trend yang dilihat pada masa akan datang," tambah Steven.