Garena Student Alliance tekad julang eSukan peringkat universiti

By Ammar Hakim 3 March 2017
Garena Student Alliance tekad julang eSukan peringkat universiti

Garena, syarikat pengguna internet terbesar Asia Tenggara, merasmikan pelancaran Garena Student Alliance (GSA) dengan harapan untuk membangunkan komuniti yang diterajui pelajar universiti negara yang menjiwai industri permainan video kompetitif.

Objektif utama GSA adalah menggalakkan pelajar universiti mendirikan kelab eSukan rasmi bawah naungan universiti masing-masing. Di samping itu, GSA mengadakan latihan khas buat para pelajar untuk memberi pendedahan dari segi pengurusan kelab di kampus, penganjuran kejohanan, penyediaan cadangan, strategi pemasaran dan perkembangan eSukan antarabangsa terkini.

Setakat ini, GSA telah mengaturkan kem eSukan yang disertai 25 universiti dari Malaysia bersama golongan pelajar berumur 18 sehingga 23 tahun.

Bagi mempertingkatkan pengaruh komuniti eSukan menerusi persaingan sihat dalam kalangan atlet eSukan universiti tempatan, GSA juga akan memberi sokongan fizikal kepada setiap kelab yang berdaftar bawah nama GSA. Antaranya, barangan ekslusif GSA serta pelancaran Garena Roadshow. GSA berharap
untuk mengubah nasib setiap ahli kampus dengan pendekatan baru ini.

Jason Ng, selaku Naib Presiden Garena, berkata: “Kami amat yakin bahawa Garena Student Alliance dapat membuka lembaran baharu dalam misi menjulang industri eSukan ke tahap seterusnya di Malaysia.

Selaku syarikat peneraju eSukan Asia Tenggara, kami percaya pengajian dan permainan video kompetitif mampu digabungkan sekali gus mencetuskan generasi pelajar yang lebih kreatif dan inovatif.

“Garena menawarkan biasiswa eSukan pertama di Malaysia tahun lepas, dan kami pasti GSA merupakan langkah seterusnya dalam mencetuskan revolusi bagi menaikkan taraf eSukan Malaysia. Pada masa yang sama, GSA sasar untuk meletakkan nama-nama universiti Malaysia antara yang paling terkenal di dunia.”

Bawah naungan program yang merintis laluan baru bagi pelajar universiti, ahli-ahli GSA akan didedahkan kepada tiga prinsip utama: Inovasi dalam pengajian, berkhidmat demi komuniti dan memantapkan tahap eSukan di Malaysia. Menerusi tiga prinsip tersebut, GSA akan membuka peluang istimewa kepada ahli-ahli
yang menyerlah sebagai pemimpin dari aspek pengalaman antarbangsa.

Dalam Asia Tenggara, Garena beroperasi sebagai penerbit utama dua tajuk eSukan bertaraf tinggi iaitu League of Legends dan EA Sports FIFA Online 3. League of Legends mempunyai jumlah pengguna aktif melebihi 100 juta di seluruh dunia, manakala EA Sports FIFA Online 3 pernah menganjurkan kejohanan
berprestij yang bernilai ASD500,000 antara jumlah tetinggi bagi permainan video bola sepak online.

Pada tahun 2016, Malaysia Campus League memperkenalkan biasiswa eSukan pertama di Malaysia. GSA bakal mengikut jejak yang sama menerusi dua kejohanan universiti seperti GSA Championship di mana peluang bertarung di pentas antarabangsa dan biasiswa menjadi rebutan sekali lagi.

About Author

Ammar Hakim

Comment