Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) inginkan permulaan baru selepas menyatakan hasrat menukar nama badan induk itu kepada Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) setelah mengharungi beberapa kemelut sejak penubuhannya.

ESM telah melalui beberapa kemelut sejak penubuhan badan induk itu, antaranya mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang peruntukan untuk sesi pemilihan atlet sukan elektronik ke Sukan SEA di Filipina, November depan.

Setiausaha Agung ESM, Hisham Darus, berkata penukaran nama iu akan membantu ESM mempunyai permulaan baru yang bakal mempamerkan kerjasama yang lebih baik bersama kerajaan.

Ia juga selaras dengan pendekatan Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF) dan Persekutuan Sukan Elektronik Antarabangsa (IESF).

"ESM sebelum ini sering terpalit dengan beberapa insiden yang kurang baik. Kami juga mahu seiring dengan badan sukan antarabangsa seperti AESF dan IESF," katanya.

Sementara itu, persediaan atlet sukan elektronik semakin dimantapkan setelah mengumumkan pelantikan ketua jurulatih dan penolong jurulatih bagi setiap permainan.

"Untuk ketua jurulatih, kami telah melantik Ahmad Syazwan Anuar atau nama lain adalah ADTR. Kemudian, kami juga melantik Yap Chee Loong untuk Dota 2, Mohd Amirul Aiman (Mobile Legends Bang Bang), Goh Wee Thean (Arena of Valor) dan Ahmad Tarmizi Mohamad Fozi (Tekken 7) manakala bagi Hearthstone dan Starcraft 2, kami masih di peringkat saringan."

Untuk rekod, ESM menyasarkan dua pingat emas dalam temasya dwitahunan itu dengan harapan disandarkan kepada permainan DoTA 2 dan Hearthstone.