E-sukan seperti Grand Prix Asia Tenggara E-Perlumbaan menghampiri realiti untuk diiktiraf sebagai sukan tulen.

Portfolio sukan elektronik Malaysia diperluaskan dengan penganjuran GP tersebut.

Ditunjangi bekas pelumba Formula Satu negara, Alex Yoong, saingan itu melalui kemuncaknya semalam.

Perbezaan ketara di antara platform e-sukan dan e-perlumbaan adalah aplikasi pelaksanaan yang tetap memerlukan aspek fizikal untuk bertanding.

"E-sukan bukan sekadar seperti bermain permainan video. Ia juga bukan sukan tradisional seperti sukan permotoran, sebaliknya berunsur hibrid -- gabungan antara sukan e-sukan dan konvesional. Ia semestinya berbeza dan sesuatu yang bakal diperluas pada masa akan datang," kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, berpandangan e-sukan akan satu hari nanti diangkat sebagai sukan tulen.

Ini ketika pengaruh e-sukan menawarkan pulangan kepada kutipan pingat secara kompetittif di peringkat sukan temasya.

Buat kali pertama dalam sejarah, e-sukan akan dipertandingkan dalam Sukan SEA 2019 dengan enam emas ditawarkan dari 1 hingga 6 Disember depan di San Juan, Manila.

"Kami harus menerima realiti bahawa e-sukan akan diteruskan dan diterima oleh lapisan masyarakat. Kami sedang membuat perancangan daripada segi pembangunan e-sukan di Malaysia bagi mendapatkan barisan atlet elit untuk beraksi secara kompetitif," kata Norza.