Saingan eRacing Grand Prix SEA 2019 semakin menghampiri ke kemuncaknya apabila pusingan separuh akhir akan berlangsung di 3 Damansara Shopping Mall hujung minggu ini.

Seramai 45 pelumba yang telah berjaya melepasi pusingan ujian masa akan berentap bagi merebut slot ke peringkat akhir.

Saingan yang diperkenalkan di Hong Kong tahun lalu itu turut mendapat sambutan positif di Malaysia atas hasil usaha bekas pelumba Formula 1 negara dan pengasas Axle Motorsport, Alex Yoong, yang membawa kejohanan ini ke tanah air.

Selepas berakhirnya pusingan ujian masa, Alex optimis bahawa pertandingan edisi sulung ini akan menghadirkan saingan sengit buat pelumba di peringkat separuh akhir.

"Sepanjang pemerhatian, saya begitu teruja dengan potensi dan juga bakat yang dipamerkan oleh peserta ,khususnya mereka yang menjadi 45 pelumba terbaik. Saya turut menyaksikan peserta yang mempunyai skil yang luar biasa ketika berlumba dan saya yakin kita akan disajikan dengan saingan yang lebih menarik," katanya.

"Untuk saingan yang akan datang, kami akan pastikan format pertandingan lebih menarik untuk pelumba dengan menyediakan pelbagai format perlumbaan."

Dia juga mengingatkan barisan pelumba untuk bersedia dan berlatih menggunakan simulator kerana banyak kejutan akan menanti dalam pusingan separuh akhir dan pusingan akhir nanti.

"Banyakkan berlatih dan menyesuaikan diri dengan berlumba di pelbagai litar serta menggunakan jentera berbeza. Tambahan pula, peserta juga perlu menggunakan jenis tayar yang berlainan kerana kita akan pastikan ada elemen kejutan untuk pusingan akan datang," tambahnya.

Sementara itu, pelumba terpantas dalam pusingan ujian masa, Mior Muhammad Hafiz, dengan catatan 1:56,945s telah bersedia untuk beraksi serta menetapkan sasaran untuk mara ke pusingan akhir.

Dia juga yakin dengan kesan positif yang dibawa eRacing Grand Prix kepada sukan elektronik (esports) dan sukan permotoran.

"Selepas sesi ujian masa, saya banyak berlatih untuk memperbaiki prestasi menjelang separuh akhir. Saya memiliki minat yang besar terhadap sukan permotoran dan saya berazam untuk beraksi dengan cemerlang untuk menjadi juara keseluruhan," katanya.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Alex Yoong dan Axle Motorsport kerana membawa eRacing ke Malaysia. Kami tahu bahawa sukan elektronik sedang rancak membangun dan kita mempunyai ramai anak muda yang terbabit dengan sukan ini. Dengan pendedahan dan panduan yang betul, sudah pasti kita akan menjadi jaguh di peringkat antarabangsa."