Pemandu eMotosports negara, Aiman Haziq Aidi, memburu kedudukan podium dalam siri perlumbaan e-Malaysia Championship Series (eMCS) 2018 yang menawarkan perlumbaan sebenar di Litar Antarabangsa Sepang kepada pemenang, tahun depan.

Sukan E-sports kini mula mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia, terutama daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Justeru, Aiman melihat peluang dalam saingan eMCS sebagai satu kesempatan yang tidak boleh dilepaskan sambil sedar bahawa sukan itu kini semakin berkembang di Malaysia.

"Bagi saya, kejohanan eMCS tahun ini tidak seperti yang saya jangkakan kerana saya kini berada pada posisi kelima. Jadi, saya harap dapat meletakkan diri dalam kelompok tiga terbaik ketika saingan pusingan akhir nanti," kata Aiman.

"Bagaimanapun, kelompok enam terbaik sudah mencukupi buat pelumba-pelumba bagi melayakkan diri mendapatkan pengalaman beraksi di litar sebenar. Bezanya, pemenang akan menerima tajaan Suzuki Swift dalam saingan eCMS."

Baru-baru ini, Aiman dilantik sebagai duta untuk pro Circuit eMotosports dan dia melihat perkembangan itu sesuatu yang positif buat industri sukan tersebut.

"Daripada keputusan keseluruhan, boleh dikatakan saya berada dalam kelompok pelumba terbaik dan berbesar hati apabila dijadikan sebagai duta," ujarnya.