Georginio Wijnaldum mendedahkan Zinedine Zidane tetap akan kekal sebagai idolanya menjelang aksi final Liga Juara-Juara Eropah di antara Liverpool dan Real Madrid, Sabtu ini.

Zidane akan memimpin Madrid dalam percubaan untuk meraih trofi Liga Juara-Juara yang ketiga berturut-turut manakala Wijnaldum akan menjadi salah seorang pemain yang akan cuba memastikan hajat bekas pemain antarabangsa Perancis itu gagal dilaksanakan.

Bagaimanapun, pemain tengah Liverpool itu menyifatkan Zidane sebagai seorang individu yang sentiasa menjadi rujukannya dalam dunia bola sepak.

"Sudah pasti ia tidak akan berubah. Zidane tetap idola saya.

"Jika anda melihat kembali perlawanan-perlawanan lama, anda akan faham mengapa saya sukakannya. Dia adalah seorang pakar," ujar Wijnaldum.

Wijnaldum kemudian mengenang kembali beberapa aksi akhir Liga Juara-Juara ketika masih kecil walaupun dia mengakui tidak memberikan sepenuh perhatian ketika perlawanan-perlawanan itu.

Dia menamakan kejayaan AC Milan pada 2007 sebagai sesuatu yang menjadi kegemarannya walaupun aksi itu menyaksikan Rossoneri menundukkan pasukannya ketika ini.

"Saya tidak menonton banyak aksi final dengan fokus kerana melakukan perkara lain tetapi sewaktu Clarence memenangi trofi buat kali keempat dan Filippo Inzaghi menjaringkan dua gol, saya masih mengingatinya.

"Seedorf adalah seorang lagi idola. Saya gembira dia memenanginya. Malangnya, ia menentang Liverpool!"