Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, telah membuat keputusan untuk memilih pemain mana bagi menghadapi aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG), Rabu ini.

Madrid tampak menggunakan kesempatan aksi liga menentang Real Sociedad untuk mempersiapkan diri apabila mencatat kemenangan 5-2 di Santiago Bernabeu wwawal pagi tadi, yang menyaksikan Cristiano Ronaldo mencipta hatrik pertamanya musim ini.

Zidane mengetepikan Casemiro daripada pasukan, mengeluarkan Luka Modric ketika aksi berbaki setengah jam dan memberikan laluan buat Gareth Bale dalam 17 minit terakhir, sambil memberikan masa penuh buat Ronaldo walaupun mengeluarkan dua pemain muda, Marco Asensio dan Lucas Vazquez.

"Saya tahu siapa yang akan membarisi pasukan, kita akan lihat pada Rabu," kata Zidane selepas pengurus PSG, Unai Emery, menyifatkan dirinya dalam dilema untuk memilih pemain utama bagi aksi Rabu ini.

"Semua orang sudah bersedia untuk beraksi dan saya tidak mahu mengumumkan siapa yang akan bermain."

Dalam masa sama, pengendali dari Perancis itu gembira dengan aksi keseluruhan anak buahnya walaupun tidak pasti punca penyerang, Karim Benzema, menerima cemuhan penyokong.

"Segalanya menjadi mudah apabila anda menjaringkan gol awal, membolehkan kami mengawal permainan dan melakukan perubahan serta memikirkan tentang perlawanan seterusnya.

"Saya tidak pasti mengapa Benzema menerima layanan begitu kerana bagi saya, apa yang penting, dia telah memikirkan tentang aksi seterusnya.

"Ramai bertanya sama ada saya risau tentang Ronaldo dan hari ini dia telah mencipta hatrik. Kita tahu dia sentiasa mahu menjaringkan gol dan PSG harus berhati-hati dengannya," katanya lagi.