VILLARREAL 2 REAL MADRID 2

Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, berkata penyandang juara Liga Juara-Juara Eropah itu sudah bersedia untuk membuat pertarungan dengan Liverpool walaupun seri 2-2 di Villarreal sementara dia memuji Gareth Bale berikutan sentuhan golnya.


Madrid menutup musim LaLiga mereka dengan seri 2-2 menentang tuan rumah, Villarreal, untuk perlawanan ke-38 di El Madrigal, awal pagi tadi.

Jaringan daripada Bale dan Cristiano Ronaldo meletakkan Madrid di depan ketika mereka berusaha mengatasi Atletico Madrid untuk posisi kedua dalam LaLiga.

Namun, kelebihan pelawat itu direntap selepas pemain gantian, Samu Castillejo, dan Roger Martinez masing-masing menjaringkan gol pada hujung perlawanan untuk menyelamatkan satu mata buat Villarreal.

Zidane, bagaimanapun, kelihatan agak tidak sabar selepas perlawanan itu untuk memandang ke hadapan dalam aksi di Kiev pada Sabtu ini.

"Saya belum mempunyai kesebelasan utama dalam kepala untuk final Liga Juara-Juara," kata Zidane kepada pemberita. "Kami sudah bersedia. Kami juga tidak mendapat kecederaan hari ini, itu yang penting.

"Kami bersedia untuk perlawanan akhir di Kiev, yang merupakan perlawanan paling istimewa musim ini."

Zidane menambah: "LaLiga sudah berakhir, kami mempunyai Liga Juara-Juara untuk bermain. Kami mahu memenangi semua yang kami boleh tetapi tahun ini tidak mungkin dapat memenangi LaLiga dan kami akan pergi ke kejayaan Liga Juara-Juara.

"Saya tidak gembira dengan kempen LaLiga kami. Musim yang sukar, terutama pada awal saingan. Kami sepatutnya membuat sesuatu yang lebih baik.

"Kami melakukan perkara yang baik pada tahun ini: trofi yang dimenangi pada permulaan musim ini, Piala Dunia Kelab, dan kami kini mempunyai final seterusnya."

Bale meneruskan sentuhan golnya pada pagi tadi untuk perlawanan keempat berturut-turut dalam LaLiga.

"Dia berlatih dengan baik dan satu-satunya perkara yang berubah adalah dia kini menjaringkan gol, seperti yang telah dilakukannya dalam beberapa perlawanan terakhir.

"Saya gembira dengan persembahannya dan apa yang disumbangkan kepada pasukan. Tidak ada apa-apa perubahan. Satu-satunya perbezaan ialah dia telah menjaringkan gol," ujarnya.