Zinedine Zidane memuji impak Karim Benzema ketika Real Madrid melakar kemenangan 4-1 ke atas Eibar dalam aksi LaLiga, pagi tadi.

Madrid mendahului tiga gol dalam tempoh 29 minit meskipun dengan ketiadaan Cristiano Ronaldo, Gareth Bale dan Alvaro Morata serta merehatkan Marcelo dan Toni Kroos sebagai persiapan menghadapi Napoli dalam aksi kedua pusingan 16, Liga Juara-Juara pada Selasa.

Benzema meningkatkan permainannya di sebalik ketiadaan beberapa pemain bintang apabila menyumbang dua gol dan satu bantuan jaringan buat James Rodriguez di samping terlibat dalam gol Marco Asensio.

Zidane berasakan Madrid bangkit dengan cemerlang selepas diikat seri 3-3 dengan Las Palmas, Rabu lalu.

"Dia terlibat dalam kesemua empat gol," kata Zidane kepada media mengenai Benzema.

"Saya sangat gembira dengan aksinya. Saya gembira dengan setiap pemain yang sering kali menyalurkan bola kepadanya.

"Dalam satu musim, akan ada situasi di mana pemain gagal beraksi dengan baik tetapi itu tidak berlaku hari ini.

"Kami memulakan aksi dengan baik, menjaringkan tiga gol dalam tempoh setengah jam. Kami tahu Eibar bukan lawan mudah."

Pada masa sama, Zidane turut memuji sumbangan pemain muda, Asensio, yang meledak gol keempat Real.

"Asensio beraksi dengan mantap," tambahnya.

"Bukan mudah untuk beraksi cemerlang ekoran sering direhatkan tetapi aksinya hari ini membuktikan dia gembira di sini."