DEPORTIVO LA CORUNA 0 REAL MADRID 3

Zinedine Zidane menegaskan dia gembira dengan skuad yang dimilikinya ketika ini sambil mengharapkan tiada perubahan berlaku sehingga jendela perpindahan ditutup.


Pengendali Real Madrid itu menjelaskan dia lebih gembira jika tiada pemain yang meninggalkan pasukan buat masa ini tetapi tidak menafikan apa sahaja boleh berlaku.

“Saya mahu pasukan ini kekal.

“Saya sukakan pasukan ini dan diharapkan tiada perubahan tetapi kita semua tahu, sebelum 31 Ogos, apa sahaja boleh berlaku,” ujar Zidane.

Dia ditemui selepas aksi pembukaan LaLiga musim 2017/18 menewaskan Deportivo La Coruna 3-0 di tempat lawan.

Beraksi di Municipal de Riazor, gol daripada Gareth Bale, Casemiro dan Toni Kroos berjaya memberikan permulaan sempurna buat Los Blancos walaupun terpaksa bakal beraksi tanpa ketua pasukan, Sergio Ramos, selepas ini setelah dilayangkan kad merah di penghujung perlawanan.

Zidane juga menghamburkan pujian buat pertahanan, Nacho, kerana menampilkan aksi yang kemas.

“Saya gembira melihat Nacho beraksi kerana dia seorang pemain yang sentiasa fokus dan menunjukkan prestasi terbaik.

“Walaupun tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama sebelum ini, Nacho tetap tampil dengan aksi yang konsisten setiap kali diturunkan.”