Robert Pires berpendapat bahawa bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Perancis, Zinedine Zidane, melakukan tindakan tepat apabila meninggalkan jawatan pengurus Real Madrid, baru-baru ini.

Zidane mencipta kejutan di Santiago Bernabeu hanya lima hari selepas mengetuai Los Blancos meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut.

Pemenang Piala Dunia 1998 itu pantas dikaitkan dengan jawatan dalam skuad Les Bleus, namun Presiden Persatuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet, pantas mengeluarkan kenyataan bahawa Didier Deschamps akan kekal mengemudi skuad kebangsaan sehingga 2020.

Bagaimanapun, Pires yakin Zidane tetap melakukan tindakan bijak dan optimis bahawa bekas tonggak Real Madrid itu akan terus mencipta kejayaan dalam bidang pengurusan.

"Saya rasa berita tentangnya meninggalkan Real Madrid adalah sesuatu yang bagus. Dia sukakan cabaran baru," kata Pires.

"Zidane sangat kompetitif dan saya yakin dia akan menemui penyelesaian baru. Dia juga boleh menikmati bola sepak baru kerana semua tahu aksi Liga Perdana Inggeris dan LaLiga bukan sesuatu yang sama.

"Jika dia mahu mencuba nasib di England, dia akan mendapat satu pasukan dan itu tidak memberikan masalah buatnya."

Selain tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah, Zidane juga membawa Los Blancos meraih dua Piala Super Eropah, dua kejuaraan Piala Dunia Kelab serta kejuaraan LaLiga pada musim 2016/17.