Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, menyuarakan kegembiraannya selepas Gareth Bale kembali menemui rentak ketika membantu pasukan menewaskan Borussia Dortmund 3-1 di Signal Iduna Park, awal pagi tadi.

Bale menjaringkan satu gol menerusi sepakan voli ketika permainan berusia 18 minit sebelum membuka ruang buat Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kedua pasukan dalam babak kedua.

Aksi mantap yang dipamerkan Bale itu nyata melegakan Zidane selepas bintang Wales itu diejek dan menerima siulan penyokong sendiri selepas bergelut dengan prestasinya.

"Saya berharap Bale akan meneruskan aksi pada hari ini kerana dia kini berada dalam prestasi terbaik. Walaupun betisnya sedikit cedera, ia tidak begitu serius.

"Ia bukan mudah buat Bale dan saya amat berbangga dengannya, terutama selepas menjaringkan gol hebat seperti itu. Bale mengingatkan setiap lawan agar tidak memberikannya sebarang ruang," kata Zidane.

Kejayaan ke atas Dortmund itu merupakan kemenangan kedua skuad Los Blancos sejak dikejutkan dengan kekalahan 0-1 di tangan Real Betis dalam aksi LaLiga dan Zidane jelas gembira dengan aksi anak buahnya, terutama Bale dan Ronaldo.

"Apa yang penting adalah kami beraksi dengan baik dan saya berbangga dengan persembahan Ronaldo dan Bale. Mereka membaca permainan dengan hebat.

"Kami tidak pernah menang di sini sebelum ini, jadi ini adalah keputusan yang amat memuaskan saya."