Kapten skuad bola sepak senior kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak, mengakui kekurangan menyempurnakan peluang jaringan perlu diatasi sebaik mungkin sebelum kempen Piala Suzuki AFF 2018, 8 November depan.

Malaysia tidak dapat meneruskan momentum kemenangan selepas tewas 0-1 kepada Kyrgyzstan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.

Namun, keputusan itu mungkin boleh dielakkan jika skuad negara mampu memanfaatkan peluang-peluang terhidang dalam babak pertama.

Zaquan sendiri antara yang memperoleh peluang jaringan tetapi tidak mampu untuk menembusi kubu lawan yang dikawal oleh Pavel Matiash.

"Saya akui sebagai penyerang, saya juga tidak berpuas hati. Selagi kami terus mencuba, saya percaya perkara positif akan tiba.

"Saya harap perkara ini dapat diatasi sebelum Piala Suzuki nanti.

"Selain itu, saya mengharapkan kepercayaan daripada pasukan, jurulatih dan penyokong kerana kami juga manusia biasa," kata Zaquan.

Dalam pada itu, Zaquan melihat aksi persahabatan menentang Maldives, 3 November depan dapat digunakan untuk meneliti setiap pemain yang dilihat berpotensi untuk membarisi skuad akhir ke Piala Suzuki AFF.

Jelasnya, apa yang menjadi tumpuan ketika ini adalah memastikan keserasian dalam kalangan pemain sentiasa berada di tahap tertinggi meskipun beberapa perubahan telah dilakukan sebelum ini.

Andai tersenarai ke Piala Suzuki, ia bakal menjadi penampilan ketiga buat Zaquan dalam kejohanan itu selepas edisi 2008 dan 2016.

"Buat masa sekarang, kami sering bertukar-tukar pemain dalam masa yang singkat. Ia sesuatu yang bukan mudah buat kami.

"Sebagai pemain, kami tidak boleh menjadikan itu sebagai alasan. Kami perlu cepat menyesuaikan diri.

"Apa yang penting, sesiapa yang dipilih perlu ikhlas, jujur dan mempunyai hati yang besar buat negara," tambahnya.