Impian penyerang skuad B-19 negara, Zafuan Azeman, untuk berkelana ke luar negara tidak pernah kabur walaupun percubaannya mencuba nasib dalam Liga Korea Selatan baru-baru ini mungkin tidak berjaya.

Zafuan menjalani ujian pemilihan bersama kelab Liga K3, Yangju Citizen FC dari 1 hingga 14 Mei lalu.

Ia kali kedua penyerang Kedah itu mencuba nasib bersama kelab luar selepas menghadiri sesi pemilihan dengan kelab Thailand, Bangkok United dan Lampang FC, tahun lalu.

Mengakui peluangnya untuk beraksi di Korea Selatan sukar, Zafuan bagaimanpun tidak akan berputus asa seandainya tidak terpilih untuk menyertai kelab berkenaan.

"Sejak belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) lagi, saya sudah berniat untuk bermain di luar. Tidak kisahlah di mana sekalipun, walaupun di Indonesia dan Thailand untuk menimba pengalaman.

"Selepas kembali dari Korea Selatan (menjalani sesi pemilihan), saya mendapat tawaran daripada kelab divisyen dua Thailand," kata Zafuan.

Sementara itu, ketiadaan beberapa tonggak utama dalam kem latihan skuad B-19 negara ketika ini tampak menjadi peluang terbaik buat penyerang kelahiran Perlis ini.

Ia bagi membuktikan kemampuannya sebagai penyerang berbisa setelah lebih kerap menjadi pemain simpanan dalam beberapa kejohanan terdahulu.

"Sempena ke kem latihan di Bangkok, kami mahu mengekalkan momentum kemenangan (sebagai bekalan) kempen di Indonesia nanti," katanya lagi.