Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, tampak akur dengan keputusan Khairy Jamaluddin yang mahu menunggu pengesahan rasmi Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk merebut 'kerusi panas' presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Khairy minggu lalu menyuarakan pendirian untuk menarik diri sekiranya pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan bertanding jawatan presiden.

"Saya fikir itu langkah yang tepat kerana dia ingin menunggu secara rasmi sama ada Tunku Ismail bertanding atau tidak," katanya.

Sementara itu, penganalisis bola sepak negara berpandangan Khairy tetap akan menarik diri sebaik Tunku Ismail mengesahkan kedudukannya.

"Kita sedia maklum senarai calon belum diumumkan, justeru Khairy boleh mengambil pendekatan tersebut," kata bekas pemain negara, Asmawi Bakiri.

"Pada saya, seeloknya Khairy menjaga pasukannya yang akan bertanding dalam Sukan SEA Kuala Lumpur," kata penganalisis bola sepak negara, Jalil Ramli.

"Itu juga penting untuk negara kita dan kalau Tunku Ismail mengambil keputusan untuk tidak bertanding, maka ia satu kerugian kepada negara."

Selain Tunku Ismail dan Khairy, calon lain adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat, dan bekas presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

FAM akan mengumumkan senarai calon bertanding selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutifnya, 20 Februari ini.

Pemilihan penggal 2017/21 akan diadakan dalam Kongres FAM pada 25 Mac depan.