Xavi menyifatkan persetujuan kontrak baru selama dua tahun dengan kelab Qatar, Al Sadd, sebagai sesuatu yang mengujakan dirinya.

Kelab Doha itu mengesahkan semalam bahawa bekas pemain Barcelona dan Sepanyol itu akan bersama pasukan sehingga usianya mencecah 40 tahun.

Dia yang berhijrah ke Al Sadd pada 2015 selepas melalui karier yang cemerlang di Camp Nou ternyata sangat gembira dengan kontrak baru yang ditawarkan.

"Saya gembira untuk terus menjadi sebahagian daripada keluarga Al Sadd bagi tempoh dua tahun lagi," ujar Xavi.

"Saya berbesar hati untuk berada di kelab ini dan bersama penyokong-penyokong. Semua orang di sini adalah sebuah keluarga, membuatkan saya teruja untuk meneruskannya."

Xavi telah meraih 133 penampilan bersama skuad Sepanyol, menjadi kunci utama kepada kejayaan skuad La Roja dalam dua edisi Piala Eropah 2008 dan 2012 serta Piala Dunia 2012.

Dia juga mengutip 97 jaringan hasil daripada 869 penampilan buat Barcelona sepanjang 17 tahun berada di Camp Nou.

Sejak tiba di Qatar, Xavi telah meraih Piala Qatar, Piala Emir serta Piala Sheikh Jassim bersama Al Sadd.