Jack Wilshere terpaksa menarik diri daripada skuad England untuk perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Itali Selasa ini akibat kecederaan.

Wilshere tidak berkunjung ke Amsterdam dalam kemenangan 1-0 England ke atas Belanda, semalam, dengan gol pertama Jesse Lingard untuk The Three Lions menghadiahkan kemenangan tipis buat skuad Gareth Southgate itu.

Dan pemain tengah Arsenal, yang mengalami masalah tendon lutut, tidak dapat beraksi bagi menghadapi skuad Azzurri di Wembley.

"Jack Wilshere tidak akan bermain menentang Itali dan kini terpaksa menarik diri daripada kumpulan ini," demikian pengesahan England dalam satu kenyataan ringkas menerusi Twitter.

Wilshere belum bermain untuk England sejak dikejutkan Iceland dalam Euro 2016 tetapi kembali ke dalam perancangan Southgate untuk kempen Piala Dunia.

Pemain pertahanan Liverpool, Joe Gomez, yang dikeluarkan awal dalam kemenangan ke atas Belanda selepas mendapat kecederaan pergelangan kaki, akan kekal bersama skuad England.

Itali mungkin bermain tanpa Marco Verratti untuk perlawanan itu selepas tonggak tengah Paris Saint-Germain (PSG) itu dipapah keluar ketika Itali tewas 2-0 di tangan Argentina di Manchester, semalam.