Arsene Wenger berkata masa depannya bersama The Gunners akan ditentukan pada Mac atau April ini dengan tekanan terhadap karier 20 tahunnya bersama kelab itu semakin memuncak.

Pengendali kelahiran Perancis itu bercakap kepada media Jerman, ZDF, sebelum Arsenal dimalukan Bayern Munich 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin.

Wenger dilaporkan telah ditawarkan pembaharuan kontrak, namun dia menjelaskan hanya akan membuat keputusan pada Mac atau April ini.

Laporan di England semalam mencadangkan masa depan Wenger akan diketahui sebaik musim ini berakhir.

Ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong setia kelab itu semakin meningkat dalam tempoh beberapa bulan ini, dengan Arsenal sekali lagi gagal dalam perebutan kejuaraan liga musim ini sementara mereka semakin hampir disingkirkan buat kali ketujuh berturut-turut dalam pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah.

Bekas pemain, Nigel Winterburn, berkata tidak adil untuk menyalahkan Wenger semata-mata, sebaliknya prestasi hambar musim ini harus dipikul setiap pemain.

"Apabila kamu bermain di bawah kendalian Wenger, kamu akan membincangkan beberapa situasi, apa yang pihak lawan akan lakukan dan bagaimana kamu akan bertahan," katanya kepada Sky Sports.

"Sudah tentu dia melakukan perkara sama sebelum berdepan Bayern, tetapi di atas padang, apa sahaja boleh berlaku dan pemain tidak boleh bergantung kepada apa yang Wenger arahkan semata-mata.

"Ia bergantung kepada pemain untuk menyusun kembali permainan mereka dan cuba mengukuhkan barisan tengah.

"Pemain perlu mengambil tanggungjawab itu."

Bagaimanapun, Winterburn berkata sudah sampai masanya Wenger memikirkan tentang masa depannya bersama kelab itu.

"Pada hujung musim ini, saya rasa Wenger tahu dia perlu duduk dan melihat kembali hala tuju kelab itu atau sudah sampai masa dia berhenti," tambahnya.

"Ketika ini,setiap kali Arsenal tewas, sokongan terhadap Wenger semakin berkurangan.

"Jika dia mahu terus kekal, mungkin dia perlu membuat beberapa rombakan."