CSKA MOSCOW 2 ARSENAL 2

Dua jaringan daripada Danny Welbeck dan Aaron Ramsey membolehkan Arsenal memadam kebangkitan CSKA Moscow di VEB Arena, apabila mencatat keputusan seri 2-2 dalam saingan suku akhir kedua Liga Europa, awal pagi tadi.


Keputusan itu membolehkan Arsenal mengesahkan laluan ke separuh akhir menerusi agregat 6-3, selepas menundukkan jaguh Russia itu 4-1, minggu lalu.

Beraksi di tempat lawan, Arsenal tampil dengan kelebihan tiga gol, namun dikejutkan dengan jaringan pembukaan tuan rumah pada minit ke-39 apabila bola muntah hasil tandukan Kirill Nababkin pantas disambar Feder Chalov untuk menjadikan kedudukan 1-0.

Mendahului satu jaringan pada babak pertama, CSKA kendalian Viktor Goncharenko hanya memerlukan lima minit sebaik separuh masa kedua bersambung untuk menjarakkan kedudukan apabila giliran Nababkin menggunakan peluang hasil kesilapan penjaga gol, Petr Cech, yang gagal menampan kemas bola percubaan Konstatntin Kuchaev untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Sedar tuan rumah hanya memerlukan satu gol lagi untuk mengikat kedudukan agregat tetapi mendahului menerusi peraturan jaringan tempat lawan, Arsenal mula memperkemas rentak dan hasilnya, Welbeck merapatkan jurang buat Gunners pada minit ke-75 selepas melepasi perangkap ofsaid benteng CSKA.

Tatkala kedudukan tampak bakal berakhir 2-1, Ramsey membuatkan penonton di VEB Arena tergamam apabila mencatat jaringan penyamaan pada minit terakhir permainan, membolehkan Arsenal melayakkan diri ke separuh akhir menerusi agregat 6-3.