Ketua jurulatih Mongolia, Michael Weiss, memberikan satu tamparan berbisa buat pasukan negara apabila mendedahkan bahawa skuad bimbingannya yang hadir kali ini rata-rata adalah pemain muda bawah 23 tahun.

Enam pemain terbaik Mongolia tidak dapat hadir kerana mengalami kecederaan dalam sesi latihan di Kunming, China.

Weiss terkejut apabila skuadnya masih mampu meraih keputusan seri di samping beliau menyifatkan ketiadaan penyerang tulen merencatkan kekuatan skuadnya.

"Malaysia masih lagi dalam proses perubahan dengan kehadiran jurulatih baru dalam pasukan. Terdapat beberapa penyerang utama yang masih tidak diturunkan dalam perlawanan ini yang menyaksikan kami agak tumpul ketika melancarkan serangan," kata Weiss.

Sementara itu, kekecewaan jelas terpancar pada riak wajah pemain-pemain Harimau Malaya apabila gagal mengatasi Mongolia, yang diwakili pemain-pemain sambilan.

Bagaimanapun, mereka tetap positif dengan corak permainan diterapkan jurulatih, Tan Cheng Hoe, dan optimis mampu mempamerkan peningkatan dalam aksi seterusnya.

"Satu kekecewaan dengan keputusan seri. Kami berharap mampu mencipta kemenangan dalam aksi akan datang," kata pemain pertahanan, Fadhli Shas, yang kesilapannya meluangkan untuk Mongolia mengikat kedudukan 1-1.

"Malaysia gagal bergerak dengan baik di atas padang, sekali gus gagal menghasilkan ruang untuk mencipta jaringan," kata Akhyar Rashid.

"Kami berharap mampu mencipta kemenangan dalam perlawanan seterusnya," kata Adam Nor Azlin.

"Saya dapat melihat keyakinan dalam kalangan pemain-pemain mengawal permainan dan ketika melakukan hantaran. Kami perlu terus memperbaiki permainan bagi aksi seterusnya," kata Safiq Rahim.

Imej: Asiana