Legenda Jerman, Rudi Voller, mengakui bahawa Bayer Leverkusen akan berdepan masalah untuk mengekalkan pemain yang sedang meningkat naik, Leon Bailey, sekiranya dia terus berkembang dengan baik sambil menyifatkan hanya Bayern Munich yang mampu menyimpan seseorang pemain dalam tempoh yang lama.

Bailey menyertai Leverkusen dari Genk setahun lalu, namun gagal memberikan impak yang pantas setelah hanya melakukan lapan penampilan dari bangku simpanan bagi aksi Bundesliga.

Bagaimanapun, situasi itu berubah pada musim ini apabila pemain berusia 20 tahun itu menjaringkan enam gol serta membantu mencipta empat jaringan hasil daripada 14 perlawanan, sekaligus menjadi nadi utama pasukan sehingga menarik minat beberapa kelab besar Eropah seperti Chelsea serta Manchester United dan Voller selaku pengarah sukan pasukan menyedari keadaan itu.

"Di Leverkusen, kami memiliki beberapa pemain yang menarik minat banyak pasukan selama bertahun-tahun. Sebab itu kami tidak mampu berbuat apa-apa," kata Voller.

"Satu-satunya pasukan yang mampu mengatakan tidak kepada pihak lain adalah Bayern Munich.

"Kami di sini bersama-sama pasukan lain terpaksa menerimanya dan berpegang kepada polisi kami, kebebasan untuk Bailey.

"Jika perlu untuk kami duduk berbincang, ia boleh dilakukan sambil cuba mendapatkan alternatif lain," tambahnya.