Jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada, enggan menjadikan tiga kekalahan skuad negara sebelum ini sebagai kayu pengukur kekuatan pasukannya menjelang aksi menentang Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hang Jebat, Melaka, esok.

Selepas kekalahan kepada Lubnan dalam aksi sulung kelayakan pada 13 Jun lalu, Vingada yakin keputusan positif mampu dilakar kali ini.

Keyakinan Vingada adalah kerana pemain kini mempunyai tempoh lebih lama bersama walaupun dua aksi persahabatan berdepan Syria dan Myanmar berakhir dengan kekalahan.

"Persembahan kami menentang Myanmar adalah baik, (tetapi) saya percaya kami boleh meningkatkannya kerana ia perlu lebih realistik.

"Kadang-kadang kita bermain untuk keputusan, bukan untuk persembahan semata-mata. Saya percaya kami boleh membuat langkah besar dan boleh menang kerana hanya kemenangan yang ada dalam fikiran kami," katanya.

Pengendali berasal dari Portugal ini juga percaya moral pemain berada di tahap terbaik walaupun sedar mereka perlu menang aksi dengan Hong Kong jika mahu mencerahkan laluan ke pusingan akhir kejohanan itu.

Vingada juga tidak gusar dengan kekuatan lawan yang akan diperkuatkan oleh beberapa pemain naturalisasi.

"Saya tidak kisah mengenai perkara itu. Kami menghormati mereka sebagai satu pasukan, bukannya pemain secara individu.

"Dengan kualiti yang kita miliki sekarang, saya percaya kami boleh memenangi perlawanan dengan Hong Kong. Bagaimanapun, itu bukan tugas mudah kerana tiada perlawanan yang mudah," tambahnya.